Loading...
TR

Disangka sudah mati, Sajjad kembali semula ke pangkuan keluarga


Sajjad Thangal, 70, dilaporkan hilang sejak 45 tahun lalu kembali semula ke pangkuan keluarganya yang selama ini menyangka dia sudah meninggal dunia. Ketika dia pulang ke rumah keluarganya di Kollam, Kerala Selatan pada petang Sabtu, 31 Julai 2021, ibunya yang berusia 91 tahun setia menunggu terus memeluk Sajjad dan menangis seketika. 


Kehidupan Sajjad menjadi tidak menentu pada tahun 1976 setelah pesawat Indian Airlines di Mumbai telah meragut 95 nyawa penumpang termasuk pelakon terkenal India, Rani Chandra. 


Sajjad yang sangat aktif di kalangan sosial pada ketika itu, pernah menjalankan program kebudayaan di negara-negara teluk. Chandra dan rombongannya sebelum itu diundang ke salah satu program tersebut di Abu Dhabi pada 1976. 


"Dia bercadang untuk kembali dari Abu Dhabi pada 12 Oktober 1976. Tetapi disebabkan beberapa halangan terakhir dengan jawatankuasa penganjur, dia membatalkan hasratnya dan terselamat dari nahas itu," kata Pastor KM Philip, pengasas sebuah NGO di Navi Mumbai yang menjaganya. 


Selepas terselamat dari nahas tersebut, Sajjad tinggal di Mumbai selama bertahun-tahun. Philip berkata, Sajjad kehilangan beberapa rakan dan rakan perniagaannya ekoran tragedi tersebut. Dia dipindahkan ke rumah perlindungan NGO susulan penyakit mentalnya bertambah teruk. 


"Masa itu, insurans tidak begitu popular dan saya kehilangan banyak wang. Saya juga takut yang polis akan memburu saya. Hampir semua orang menyangka saya salah seorang mangsa terkorban dalam nahas itu. Saya mula mentap di Mumbai dan melakukan pekerjaan yang aneh," katanya. 


Di rumah perlindungan itu, Sajjad juga menjalani rawatan penyakit mental. Philip berkata, Sajjad menjadi introvert sepanjang masa dan hanya mula berkongsi mengenai kisah dirinya dengan seorang kaunselor setelah sekian lama. 


NGO berkenaan kemudian membuat siasatan dan mendapati ibu Sajjad, Fathima Beevi, 91, masih hidup. Dua beranak itu kemudian berbual melalui panggilan telefon dan dipertemukan pada Sabtu lalu. 



Saudara maranya berkata, selepas nahas tersebut, mereka memeriksa senarai nama penumpang berulang kali dan tidak menemui nama Sajjad. Memandangkan tiada maklumat mengenainya, mereka menganggap Sajjad antara mangsa dalam kejadian itu. 


"Ini adalah mimpi yang menjadi kenyataan buat saya. Saya tidak pernah menyangka saya akan bertemu semula dengan keluarga terutamanya ibu saya," kata Sajjad yang mempunyai dua abang dan tiga adik perempuan. 


Kepulangannya disambut dengan meriah oleh penduduk kampung termasuk para pemimpin tempatan dalam satu majlis kesyukuran. 


Sumber: Hindustan Times

About Cite Malaya

Powered by Blogger.