Viral di media sosial video menunjukkan seorang wanita bertindak memecahkan cermin sebuah van syarikat platform e-dagang dengan menggunakan pengunci stereng dalam kejadian di Sentuh Pasar pada 5 Julai 2021.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada kedua-dua pihak berhubung kejadian itu.
Menurut wanita berusia 26 tahun itu, keretanya Perodua Axia telah dihimpit oleh van berkenaan, manakala pemandu van berusia 36 tahun itu pula membuat laporan cermin kenderaannya dipecahkan oleh wanita terbabit.
"Mengikut laporan wanita itu, van dipandu seorang lelaki menghimpit keretanya dan mematahkan cermin sisi bahagian pemandu semasa dia berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kampungg Batu Muda.
"Wanita itu bertindak mengekori van terbabit dan membunyikan hon supaya kenderaan berkenaan berhenti untuk berbincang, namun tidak diendahkan. Akibat tidak berpuas hati, wanita itu yang memandu Perodua Axia bertindak menghalang laluan van terbabit dan memecahkan cermin kenderaan berkenaan menggunakan pengunci stereng," katanya.
Bagaimanapun, pemandu van menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa berlaku perselisihan faham yang berpunca daripada tindakan wanita terbabit membuat pusingan U secara tiba-tiba membuatkan pemandu van membunyikan hon untuk menegurnya.
Disebabkan tidak berpuas hati dengan teguran itu, wanita berkenaan telah mengejarnya sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel secara tidak sengaja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
Sumber: Harian Metro