Tular di media sosial video seorang lelaki berang selepas ditegur tidak memakai pelitup muka ketika membeli nasi lemak di tempat awam, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.30 pagi Ahad, 18 Julai 2021, di Jalan Desa Bakti dan pihaknya ada menerima laporan daripada anak perempuan penjual nasi lemak berkenaan.
Berdasarkan video berdurasi 29 saat yang dirakam oleh orang awam, suspek memakai baju hitam memarahi penjual nasi lemak berkenaan yang menegurnya tidak memakai pelitup muka.
"Kau siapa nak suruh aku pakai mask, cib**! Apa yang kau nak buat? Panggil polis? Panggillah celaka, kau tunggu apa? Ke telefon kau tak ada kredit?! Ke nak aku belikan kredit?!" kata suspek.
Hal itu membuatkan seorang pelanggan lelaki tampil meredakan kekecohan itu, namun turut dimaki oleh suspek yang tidak dapat dibawa berbincang.
"It's okay then fak off! Jangan cakap banyak! Celaka! Ke kau nak kena pukul di pagi Ahad ni?! Nak kena pukul?!" kata suspek.
Enggan keadaan menjadi lebih teruk, penjual nasi lemak meminta pelanggan yang cuba membantunya itu beredar dari tempat kejadian.
Basri berkata, pihaknya kini sedang menyiasat kejadian itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Di bawah undang-undang tersebut, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro, Facebook