Operasi pihak berkuasa untuk memusnahkan kebun durian Musang King yang diteroka secara haram di kawasan Hutan Simpan Batu Talam terhalang selepas jambatan simen dirobohkan, dipercayai dilakukan oleh pekebun haram.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, kejadian itu berlaku semalam dan pihaknya terpaksa membaiki jambatan itu yang mengambil masa yang lama.
Sebelum itu, seorang pekebun cuba menghalang laluan dengan mengatakan tayar kenderaan pacuan empat roda miliknya bocor, semata-mata mahu melengahkan operasi JPNP memusnahkan kebun haram itu seluas kira-kira 101 hektar.
Tindakan tidak bertanggungjawab pekebun haram itu menyebabkan operasi JPNP semalam tidak dapat diteruskan seperti dirancang. Mereka yang terbabit tiba lewat di lokasi kerana terpaksa membaiki jambatan dengan mengangkat semula dua lantai simen jambatan yang dijatuhkan ke dalam anak sungai. Anggota terbabit terpaksa mengikat menggunakan tali dan mengangkat simen itu secara beramai-ramai.
"Operasi turut membabitkan kakitangan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Tranum.
"Saya difahamkan hari ini anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara Kem Bukit Galing, Kuantan turut akan menyertai operasi musnah. Kehadiran mereka lebih menjamin keselamatan mereka yang menjalankan tugas," katanya.
Sumber: Harian Metro