Seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai membunuh anak perempuannya dengan mencampak mangsa dari tingkat enam bangunan kediaman.
Lapor The Sun yang memetik dari jurucakap Polis Rusia berkata, suspek iaitu, Anna Ruzankina, 23, telah menggantung anak perempuannya berusia tiga tahun, Anastasia, di balkoni sebagai hukuman kerana menangis.
Dalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga kedengaran Anastasia mengatakan dia berada dalam ketakutan sebelum jatuh dari ketinggian 60 kaki.
"Aku takut, takut, takut.... Aku takut," kata mangsa.
Tidak beberapa lama selepas itu, Ruzankina masuk ke lif dan turun ke tingkat bawah untuk mengambil mayat anaknya dan dibawa pulang ke rumah mereka. Suspek cuba menggoncang badan anaknya itu, tetapi tiada sebarang respon. Suspek sekali lagi menggoncang badan mangsa dengan harapan anaknya masih bernyawa.
Sementara itu media lain pula melaporkan, Ruzankina sempat memegang anaknya yang terjatuh. Malangnya baju mangsa terkoyak lalu terjatuh ke tingkat bawah. Siasatan awal mendapati, insiden itu berlaku selepas Ruzankina pulang dari kelab malam dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.
Seorang pejalan kaki yang tidak didedahkan identitinya berkata, dia sebelum itu terdengar suara jeritan kanak-kanak dari tingkat atas. Tiba-tiba dia terdengar bunyi sesuatu yang terjatuh dan jeritan mangsa juga berhenti.
"Bila saya periksa, ternampak seorang gadis kecil berlumuran darah. Saya berlari meminta bantuan orang lain. Saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku.
Jiran yang lain pula berkata, suspek mendakwa anaknya memanjat balkoni itu sendiri sebelum terjatuh.
Ruzankina kini ditahan kerana disyaki membunuh anaknya yang masih bawah umur dan berdepan dengan hukuman penjara 21 tahun jika sabit kesalahan.
Sumber: The Sun