Tindakan beberapa penghantar makanan bertindak memukul pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan dengan seorang penghantar makanan di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, semalam mengundang padah apabila mereka ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa mengalami patah tangan kanan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan.
"Siasatan mendapati, pergaduhan terjadi antara sekumpulan lelaki yang juga penghantar makanan dengan pemandu lori terbabit. Kecederaan dialami pemandu itu belum dipastikan dan kita dimaklumkan dia akan hadir pada tengah hari ini untuk buat laporan," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya telah menahan dua penghantar makanan berusia 20 dan 25 tahun untuk membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan itu. Suspek lain yang terbabit dalam kes itu juga sedang dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes kemalangan.
Terdahulu, dua video kejadian berkaitan dengan kemalangan itu viral di media sosial. Berdasarkan video CCTV di jalan tersebut menunjukkan, pemandu lori itu memberhentikan kenderaannya di awal susur masuk ke kanan tanpa menyalakan sebarang lampu kecemasan.
Mangsa dipercayai tidak menyedari lori tersebut berhenti, terus merempuh bahagian sisi belakang lori sehingga menyebabkannya terjatuh lalu tercampak ke jalan raya. Mangsa nyaris dilanggar sebuah kenderaan di belakangnya, tetapi berjaya mengelak.
Video kedua pula menunjukkan pemandu lori dikerumuni orang ramai yang tidak berpuas hati dengannya kerana menjadi penyebab kemalangan.
Sumber: Harian Metro, Ariel Arjuna