John McAfee, pencipta perisian antivirus komputer popular dilaporkan mati bunuh diri di penjara Sepanyol, setelah mahkamah meluluskan permohonan ekstradisi ke Amerika Syarikat bagi pertuduhan berkaitan cukai.
McAfee, 75, ditemui mati pada petang Rabu di selnya di Penjara Brians 2, Barcelona di mana siasatan awal menunjukkan ada tanda-tanda membunuh diri. Kejadian itu berlaku selepas beberapa jam mahkamah Sepanyol meluluskan permohonan ekstradisi McAfee ke Amerika Syarikat yang dikehendaki atas pertuduhan jenayah berkaitan cukai, membawa kepada hukuman penjara hingga 30 tahun.
Peguamnya, Javier Villalba berkata, McAfee masih berpeluang untuk membuat rayuan terhadap kes itu tetapi anak guamnya sudah tidak tahan dikurung terlalu lama di penjara.
"Ini adalah hasil dari sistem yang kejam, yang tidak mempunyai alasan untuk menahan lelaki ini dalam tempoh yang lama," kata Villalba yangg juga mendedahkan McAfee mati bunuh diri dengan menggantung diri di dalam sel.
Difahamkan, McAfee telah ditahan di penjara Sepanyol sejak ditangkap pada Oktober lalu apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan pendakwaan terhadap McAfee dan penyokongnya.
Selepas ditahan, akaun Twitter McAfee memuat naik tweet seakan petunjuk yang mengatakan sekiranya dia dilaporkan mati di penjara, itu semua adalah konspirasi terancang. McAfee juga menafikan dakwaan yang kononnya dia memiliki aset tersembunyi.
McAfee turut memuji keadaan penjara di Sepanyol, walaupun kadang-kadang dia mengeluh mengenai makanan di pusat tahanan itu.
"Keadaan di penjara Sepanyol adalah seperti Hilton berbanding penjara Amerika. Di sini saya diperlakukan sebagai manusia dan bukannya nombor," kata McAfee dalam surat yang ditulis kepada isterinya.
McAfee juga berpendapat, tuduhan yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik dan sekiranya dia dihantar ke Amerika Syarikat, dia akan menghabiskan sisa hidupnya di penjara. Namun, Pendakwa Raya Sepanyol, Carlos Bautista menafikan dakwaan itu dan menegaskan McAfee seorang jutawan yang enggan membayar cukai.
Sementara itu, isterinya, Janice Dyson mendakwa suaminya telah difitnah oleh kerajaan dan media Amerika. Katanya, pihak berkuasa mahu John mati di penjara untuk dijadikan sebagai teladan kerana bersuara menentang rasuah dalam kerajaan. Oleh itu, tiada harapan untuk McAfee menjalani perbicaraan yang adil di Amerika.
McAfee menubuhkan McAfee Associates pada tahun 1989. Dia kemudian menjual syarikat itu kepada Intel pada tahun 2010 dengan harga $7.7 bilion (RM32 bilion).
Sumber: Daily Mail