Israel dilaporkan mahu menjalinkan hubungan dengan negara-negara majoriti Muslim di Asia Tenggara, meskipun negara-negara tersebut mengutuk kekejaman yang dilakukan Israel terhadap Palestin.
Tiga negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia tetap teguh menyokong perjuangan Palestin menuntut hak mereka yang dirampas dan dizalimi oleh Israel.
Dalam serangan Israel terhadap Gaza baru-baru ini, seramai 250 warga Palestin terkorban dan 13 warga Israel dilaporkan terbunuh akibat roket yang dibedil oleh Hamas dan sekutunya.
Duta Besar Israel di Singapura, Sagi Karni berkata, kritikan dari para pemimpin negara Muslim di Asia Tenggara disifatkan tidak jujur dan mengabaikan sifat sebenar dari konflik. Menurut Sagi, pertempuran yang berlaku di antara Israel dan Hamas, bukannya dengan rakyat Palestin.
"Hamas adalah organisasi anti-Semit (suatu sikap permusuhan atau prasangka terhadap kaum Yahudi). Saya tidak percaya, ramai orang yang berdedbat di media sosial benar-benar faham sifat radikal dan fasis Hamas.
"Kami sedia berbincang dan bertemu. Pintu sentiasa terbuka dan saya fikir, tidak begitu sulit nak mencari kami," katanya kepada Reuters.
Israel mempunyai kedutaan besar di Singapura, Vietnam, Thailand, Filipina dan Myanmar di Asia berbanding Malaysia, Brunei dan Indonesia yang seringkali mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Sumber: Reuters