Seorang wanita di Jerman didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh lima dari enam anaknya dengan mencampurkan dadah dalam sarapan pagi sebelum melemaskan mereka, selepas bertengkar dengan bekas suaminya.
Christiane K, 28, didakwa membunuh lima anaknya berusia dari satu hingga lapan tahun, selepas memberi mereka dadah 'dos tinggi' dalam kejadian September 2020. Tertuduh kini berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Daerah Wuppertal, Jerman, meskipun dia dijangka tidak akan membuat sebarang pengakuan.
Mengikut pertuduhan, Christiane dengan sengaja mencampur sarapan pagi dengan dadah agar kesemua mangsa tertidur yang kemudian dibawa ke bilik mandi satu persatu untuk dilemaskan dalam tab mandi.
Ibu kepada enam anak berkenaan yang berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, mendakwa anak-anaknya dibunuh oleh penjenayah bertopeng yang memecah masuk ke kediaman mereka.
Mayat tiga anak perempuannya berusia satu, dua dan tiga tahun, dan dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun ditemui terbaring di atas katil, yang masing-masing dibalut dengan tuala.
Selepas melakukan pembunuhan itu, Christiane cuba membunuh diri dengan terjun di depan sebuah kereta api di Stesen Duesseldorf. Tetapi dia diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Anak keenamnya, Marcel, 11, terselamat dari kejadian itu kerana pada hari kejadian dia berada di sekolah.
Menurut Pendakwa Raya, penyiasat tidak menemui sebarang bukti yang menyokong dakwaan Christiane kononnya rumah mereka diceroboh oleh penjenayah bertopeng.
Motif pembunuhan masih belum diketahui, namun pendakwa raya berkata, Christiane baru-baru ini bertengkar dengan bekas suaminya (ketiga, bapa kepada empat daripada enam anak) yang telah menemui kekasih baru.
Sumber: Daily Mail