Kerajaan Sabah menguatkuasakan arahan kuarantin wajib 14 hari ke atas individu yang masuk ke negeri itu berkuat kuasa esok dalam usaha mengekang penularan Covid-19, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.
Masidi berkata individu yang berasal dari Sabah, penduduk tetap dan pemegang Pas Kerja yang bermastautin di negeri itu dibenar menjalani arahan kuarantin di rumah masing-masing.
Katanya, individu yang bukan berasal dari Sabah pula dikehendaki menjalani arahan kuarantin itu di hotel yang ditetapkan sebagai pusat kuarantin iaitu 16 hotel di Kota Kinabalu dan satu di Tawau atas biaya sendiri.
"Pengambilan ujian (saringan Covid-19) PCR (Polymerase Chain Reaction) dengan keputusan negatif adalah diwajibkan bagi setiap individu yang ingin masuk ke Sabah seperti sebelum ini.
"Kemasukan ke Sabah bagi pegawai-pegawai kerajaan adalah dibenarkan tertakluk kepada pegawai yang mempunyai surat rasmi bertugas di Sabah," katanya menerusi kenyataan semalam.
Masidi berkata kerajaan negeri juga membenarkan kemasukan pelabur asing bagi tujuan melabur di negeri itu, bagaimanapun mereka perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kemasukan daripada kerajaan negeri.
Sementara itu, dia berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesan dua kes penularan Covid-19, kedua-duanya melibatkan individu dari Labuan yang pulang untuk meraikan Aidilfitri di Tawau.
Dia berkata kes pertama melibatkan pasangan suami isteri yang pulang ke Ladang Abaka, Tawau pada 7 Mei, dan mereka disahkan positif pada 14 Mei dan menjangkiti sembilan ahli keluarga.
Bagi kes kedua, individu terlibat pulang ke Kampung Sungai Imam, Tawau pada 8 Mei sebelum disahkan positif pada 16 Mei dan turut menziarah keluarganya di Taman Barkeley, Tawau seterusnya menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarganya.
"Oleh yang demikian, kerajaan negeri pada hari ini memutuskan untuk mengetatkan SOP (prosedur operasi standard) kemasukan ke Sabah," katanya.
Masidi berkata JKNS merekodkan 95 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,504 kes.
Sumber: Bernama