Gambar yang menunjukkan seorang pendakwah berusia 31 tahun bergambar dengan dua wanita berpakaian seksi di sebuah majlis di ibu kota, viral di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dari netizen.
Pencetus Ummah (PU) Amin, bagaimanapun sudah menjangkakan gambar itu akan dimuat naik di media sosial sehingga dikecam orang ramai.
Walaupun begitu, Amin menjelaskan tiada salah dua wanita itu bergambar dengannya meskipun mereka berpakaian seksi sehingga menampakkan aurat kerana dirinya bukan sedang berpelukan atau menyentuh wanita-wanita itu.
"Betul, pakaian mereka tidak menutup aurat. Tapi takkanlah bila orang nak bergambar, saya nak kata 'tak boleh, awak ahli neraka'? Samalah juga jika ada golongan mak nyah yang nak bergambar, takkan saya nak cakap begitu?
"Orang perli dan sindir saya senyum dalam gambar itu. Habis? Dah namanya ambil gambar, takkanlah saya nak buat muka marah pula?" katanya memetk laporan dari Utusan Malaysia, semalam.
Difahamkan, Amin hadir ke majlis berbuka puasa itu setelah dijemput untuk membacakan bacaan doa dan tazkirah maghrib sebelum pulang menunaikan tanggungjawab sebagai imam di sebuah masjid.
Menurut Amin, jemputan itu dilihat sebagai peluang untuk berdakwah dan semasa memberi tazkirah kepada tetamu yang hadir, dia menyentuh mengenai topik pematuhan pakaian, sensitiviti di bulan Ramadan, kuasa dan keampunan Allah SWT yang diterima baik oleh para tetamu.
"Selama ini orang asyik kata saya cuma cakap dan nasihat orang dalam Facebook saja. Bila saya turun padang macam ini dan bukannya cuma berada di surau atau masjid, pun kena kecam juga? Macam mana ni?" katanya.
Sementara itu, wanita dalam gambar tersebut yang dikenali sebagai Nadira Isaac tampil meluahkan rasa kesalnya dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka perkongsian gambar tersebut di Instagramnya telah mencetuskan kemarahan netizen.
Wanita berusia 21 tahun itu berkata, "Sejujurnya benda ni saya tak rancang pun. Bukan saja-saja nak cetuskan viral tapi tak sangka foto itu kecoh di Twitter dan Instagram.
"Niat saya jemput PU Amin hanyalah untuk baca doa sambil menikmati hidangan berbuka puasa. Lagipun dia singgah sekejap sahaja dan saya pun sangat berbesar hati apabila dia menerima jemputan ini.
"Semasa dia nak balik selepas berbuka puasa, kami sempat bergambar kenangan tapi hanya ada gambar yang diambil dari sisi itu sahaja. Mungkin nampak agak seksi tapi saya tak jangka akan jadi begini,"
Melalui kenyataan terbarunya di Instagram, Nadira memohon maaf kepada Amin dan telah memadam gambar kontroversi itu bagi menghormati permintaan pendakwaah berkenaan.
Menjelas mengenai pakaian yang dipakainya terlalu seksi dan tidak bersesuaian dengan majlis, Nadira berkata, itu sememangnya penampilan dirinya selama ini.
Sumber: Utusan Malaysia, mStar Online