Loading...
TR

'Tak jadilah backup' - Netizen berubah fikiran selepas polis sahkan pencuri beras & susu positif dadah, miliki 6 rekod jenayah


Polis mengesahkan, suspek yang memecah masuk premis makanan di Jalan Indah, Kota Tinggi, Johor dan mencuri sekampit beras 10 kilogram serta sekotak susu semalam telah ditahan. 


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Kuso pada jam 7.30 malam, pada hari yang sama. 


Turut dirampas, beras 10 kilogram dan sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang didaftarkan atas nama isteri suspek. 


Ketika disoal siasat, suspek memberikan alasan terpaksa berbuat demikian kerana perlu menanggung keluarga, lebih-lebih lagi isterinya yang bekerja sebagai pembantu kantin tidak bekerja ekoran sekolah tidak beroperasi. 


Difahamkan, lelaki warga Indonesia itu bertaraf penduduk tetap dan mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan serta mempunyai lima anak lelaki berusia enam bulan hingga 10 tahun. 


Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis heroin dan memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk tiga kes dadah. 


Hussin berkata, pihaknya tidak mahu menjadi satu bentuk trend dalam masyarakat melakukan jenayah atas alasan kesempitan hidup atau desakan hidup. 


"Kalau pun hidup dalam kesempitan disebabkan Covid-19, masih ada ruang untuk memohon bantuan meringankan beban menerusi agensi berkaitan seperti badan bukan kerajaan (NGO) mahupun ahli politik," katanya. 


Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengiktu Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda jika didapati bersalah. Jika kesalahan itu dilakukan kali kedua, pelaku boleh dikenakan denda atau sebatan. 


Terdahulu, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa premisnya dipecah masuk oleh suspek. 


Bagaimanapun pada hari yang sama, wakil kepada pemilik kedai pula tampil menjelaskan mereka tidak mahu memperbesarkan hal itu dan mengikhlaskan sahaja barangan yang diambil oleh suspek. 


"Benda macam ni dah biasa dalam kawasan bandar kota. Yang diambil pun tak seberapa. Harap pihak mana pun jangan melebihi cerita yang dapat membuat rasa tak senang hati," kata individu berkenaan. 


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN

About Cite Malaya

Powered by Blogger.