Setakat ini, seramai 18 individu termasuk pengarah, penyanyi dan komposer yang terbabit dalam video raya mempromosikan judi online telah ditahan untuk membantu siasatan.
Suspek utama, Loh Kee Hoe, 35, yang dipercayai menjadi dalang utama penerbitan dua video tersebut juga telah ditahan polis pada Ahad, 18 April 2021.
Sejak video itu viral di media sosial, polis telah menerima 38 laporan berhubung penularan video itu.
Polis sedang giat memburu sindiket utama yang membayar syarikat produksi berkenaan untuk membuat rakaman video tersebut.
Para pelakon yang ditahan mengaku menerima bayaran sebanyak RM180 untuk tawaran kerja tersebut.
Enam suspek yang merupakan pelakon dalam video pertama telah dibebaskan kerana individu berkenaan hanya berlakon dan memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata, para pelakon tidak wajar memberikan alasan tiada tawaran kerja sehingga sanggup menerima tawaran berlakon dalam video yang berunsurkan perjudian.
"Saya rasa dunia seni budaya sekarang tidak kekeringan untuk drama, filem dan sebagainya. Jadi saya harap janganlah sampai ada alasan tak ada job," katanya.
Orang ramai yang masih berdegil berkongsi video tersebut di mana-mana platform media sosial juga akan dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, pelakon video pertama tampil mempertahankan diri dan memberi penjelasan berhubung penglibatannya dalam video tersebut.
"Sudah menjadi kebiasaan pemilik brand nak merahsiakan produk mereka, malah semasa kita buat penggambaran pun mereka cakap jangan (rakam) video, jangan beritahu sesiapa sebab surprise.
"Kami desperate, freelance macam kami terjejas teruk. Apabila dapat job ini, saya ambil je tanpa banyak tanya soalan. Untuk job ini mereka bayar pun sikit sangat. Kita buat sebab tak ada cara lain cari duit, kami freelancer.
"Masa awal-awal memang berkaitan raya, tetapi apabila masuk bahagian kedua di penghujung penggambaran baru kami sedar ia adalah judi.
"Pihak produksi minta kami lip sync empat baris lirik lagu yang jelas berkaitan dengan perjudian. Saya menyesal sebab tak berani pull out, padahal kami tiada kontrak apa-apa pun. Saya jadi panik, bukan saya je, kawan-kawan pun kena dan saya rasa bersalah.
"Kami sangat profesional, takkan kita nak minta produksi hentikan dan kami akan pulang? Tidak! Memandangkan dah 70 peratus siap, kami hanya teruskan seperti yang dirancang," katanya.
Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro, mStar Online