Polis telah mengambil keterangan seorang warga pendidik yang didakwa memukul murid tahun tiga sehingga meninggalkan kesan bengkak dan lebam dalam kejadian Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketika diambil keterangan, guru di sebuah sekolah di Kuala Kedah itu mengaku memukul mangsa yang tidak menyiapkan kerja sekolah.
Bagaimanapun, guru terbabit dikatakan sudah menyesal dengan perbuatannya itu.
Khamis lalu, ibu kepada murid berusia sembilan tahun itu tampil mendedahkan gambar anaknya dipukul dengan menggunakan pembaris kayu sehingga pecah berderai dan serpihannya terkena pada wajah anaknya.
Akibat dari perbuatan guru itu, mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian lengan tangan kiri, cedera di jari jemari ketika cuba menepis pukulan dan wajahnya calar serta berdarah akibat terkena serpihan pembaris kayu tersebut.
Kini, polis sedang menunggu laporan prestasi guru terbabit sebelum kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro