Viral di media sosial video seorang penghantar makanan melanggar sebuah kereta yang membelok ke kanan beberapa saat sebelum lampu isyarat bertukar ke warna hijau.
Dalam kemalangan yang berlaku pada pagi Ahad, 28 Februari 2021 di persimpangan lampu isyarat Teratai Mewah, Setapak, mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Berdasarkan video dari dashcam pengguna yang kebetulan melalui jalan tersebut menunjukkan, kereta yang dipercayai model Nissan Latio itu membelok ke kanan lebih awal hanya beberapa saat sebelum lampu isyarat bertukar hijau.
Tindakannya itu menyebabkan mangsa yang berada di lorong bertentang tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta itu dan terjatuh.
Tidak diketahui status pemandu kereta itu sama ada berhenti atau meneruskan perjalanannya selepas kejadian itu. Menurut saksi, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu datang menghulurkan bantuan.
Di media sosial, netizen berpandangan kemalangan itu berlaku disebabkan pemandu kereta yang dipercayai bergerak mengikut penunggang motosikal di depannya yang jelas sekali melanggar lampu isyarat merah.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat, mangsa juga memecut motosikalnya sewaktu lampu isyarat bertukar kuning berikutan hanya beberapa saat sebelum itu lampu isyarat di lorong bertentangan dengannya bertukar hijau.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memandu dengan berhati-hati terutamanya ketika melalui persimpangan lampu isyarat. Usah dikejar lampu kuning dan merah sekiranya tidak mahu menanggung risiko kecederaan atau kematian di kemudian hari. Ingatlah keluarga tersayang dan paling tidak pun kucing tersayang.
Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS