Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengenakan saman terhadap seorang penunggang motosikal yang mengubahsuai motosikalnya dari struktur asal dengan memasang struktur tambahan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan sebelum disaman dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal) yang dijalankan pada jam 3 petang, Rabu, 10 Mac 2021 di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, pengguna perlu tahu bahawa adalah penting untuk mereka mengikut spesifikasi kenderaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, ini bagi menjamin keselamatan diri mereka ketika berada di jalan lain, selain mengelakkan mereka mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
Penunggang motosikal yang diubahsuai itu menjelaskan, dia memasang struktur bumbung tambahan yang siap dengan penggilap cerman pada skuter SYM VTS 200, sejak tahun lalu bagi mengelakkan ditimpa hujan.
Dia mengeluarkan modal sebanyak RM300 untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat bumbung tambahan itu.
"Bumbung ini saya pasang sendiri sejak tahun lalu kerana mahu mengelak hujan. Walaupun saya tahu tindakan ini salah, namun saya yakin struktur ini kukuh.
"Saya tidak pernah disaman pihak berkuasa sebelumi ini, ini adalah kali pertama," katanya.
Sumber: Harian Metro