Dakwaan yang mengatakan pasangan selebriti, Neelofa dan Haris yang baru saja mendirikan rumah tangga pada Sabtu lalu dikatakan telah pergi berbulan madu di Langkawi, Kedah, baru-baru ini adalah tidak benar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pasangan itu bersama tiga yang lain telah diberi kebenaran untuk bergerak ke Pulau Langkawi atas urusan kerja, bukannya untuk berbulan madu.
Mereka dibenarkan bergerak ke lokasi itu bermula dari 27 Mac hingga 4 April 2021 atas urusan kerja bersama dengan pihak Chatime Malaysia.
"Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah untuk urusan kerja.
"Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya.
Dalam permohonan itu, Neelofa dijadualkan ke tiga lokasi iaitu Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.
Syarikat Chatime Malaysia juga mengeluarkan kenyataan rasminya untuk menjelaskan kepada warga umum mengenai gambar viral pasangan selebriti itu.
"Justeru saya tegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu," katanya.
Bagaimanapun, sekiranya terbukti pasangan itu menyalahgunakan kebenaran merentas negeri untuk berbulan madu, pihak polis akan mengambil tindakan atas dakwaan melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sumber: Berita Harian