Loading...
TR

Kompaun RM10,000 bukan nak aniaya rakyat, tetapi untuk menjaga rakyat ' - Ismail Sabri


Kerajaan memberi jaminan kompaun maksimum RM10,000 bagi mereka yang melanggar peraturan Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan digunakan mengikut budi bicara dan tidak akan menganiaya rakyat.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kompaun maksimum itu adalah untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang kali dan kategori kesalahan ingkar yang berat.


"Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) juga dah beritahu kalau setakat tidak pakai mask (pelitup muka), tiada penjarakan fizikal itu tidak akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000, rakyat perlu memberikan kepercayaan bahawa PDRM akan menggunakan akta tersebut untuk menjaga rakyat, bukan untuk menganiaya, " katanya pada sidang media perkembangan PKP di Kuala Lumpur hari ini.


Pada 25 Feb lepas, dilaporkan individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 akan berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac ini.


Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara. Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.


Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.


Keputusan itu kemudian menimbulkan kegusaran rakyat dan pelbagai pihak yang mendakwa ia akan membebankan rakyat dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.


Mengulas lebih terperinci mengenai perkara berkenaan, Ismail Sabri berkata selain kesalahan berulang, pemilik pusat hiburan dan pengunjung premis itu yang masih degil melakukan kesalahan itu adalah antara golongan yang akan dikenakan kompaun maksimum itu.


Ini kerana, dia berkata pusat hiburan sehingga kini masih berada dalam senarai terlarang.


"Dalam laporan ingkar PKP setiap hari ada sahaja tangkapan yang kita buat (berkaitan pusat hiburan) dan mereka inilah yang akan kita kenakan denda maksimum termasuk RM50,000 kepada pemilik (pusat hiburan) yang ingkar (beroperasi)," katanya.


Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata individu yang dikenakan kompaun boleh merayu sehingga minimum mengikut budi bicara pengawai kesihatan daerah masing-masing.


“Di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), rayuan boleh dibuat, Ketua Pengarah Kesihatan telah menurunkan kuasa kepada pegawai kesihatan daerah, bukan mesti maksimum. Untuk RM10,000, mungkin boleh rayu (dan boleh turun) sampai RM100 atau RM50 kalau rayuan dibuat dan keputusan diambil pegawai kesihatan daerah,” katanya.


Justeru, Ismail berkata mereka yang dikenakan kompaun terutama kesalahan ringan boleh membuat rayuan sebelum membayar kompaun tersebut.


Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.