Seorang wanita hamil lapan bulan maut selepas perutnya dibelah dan bayinya dicuri dalam kejadian mengerikan dalam kejadian yang berlaku pada petang Rabu, 17 Mac 2021 di kediamannya di Macae, Rio de Janeiro, Brazil.
Pamella Ferreira Andrade Martins, 21, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dalam bilik air sebelum ahli keluarganya terpaksa memecahkan pintu bilik air yang berkunci. Sebaik saja pintu dibuka, mereka mendapati perut mangsa telah dibelah menggunakan senjata tajam dan bayi dalam kandungnya juga hilang.
Tidak beberapa lama selepas itu, polis menahan seorang wanita berusia 22 tahun di hospital kerana membawa bayi yang telah meninggal dunia.
Sebelum itu, suspek memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa dia adalah ibu kepada bayi itu yang baru sahaja dilahirkan. Kedatangannya ke situ untuk meminta bantuan perubatan setelah dia dan bayinya mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tangga.
Pemeriksaan hospital mendapati, suspek tidak pernah mengandung. Turut diperiksa isi kandungan beg tangannya yang berjaya menemukan dua bilah pisau termasuk pisau lipat.
Rakan mangsa ada memaklumkan kepada polis yang suspek pernah berkata dia akan mempunyai anak walau dengan apa cara sekalipun. Namun sukar untuk mereka percaya yang suspek berkemampuan untuk melakukan jenayah kejam seperti itu.
Pemergian mangsa meninggalkan suami dan anak lelakinya berusia dua tahun.
Suspek direman selama beberapa hari untuk siasatan lanjut. Polis juga sedang menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian bayi malang itu.
Sumber: Daily Mail