Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memberi kelonggaran bagi aktiviti penjualan makanan dilanjut sehingga jam 12 tengah malam di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya akan membuat permohonan itu yang membabitkan operasi restoran, kedai, gerai, kenderaan saji selain kebenaran pelanggan makan di premis, susulan mendapat aduan daripada peniaga yang menyatakan perniagaan mereka terjejas teruk setelah PKP 2.0 dilaksanakan.
"Sebagai kerajaan yang prihatin, saya yakin pihak berwajib akan memperhalusi cadangan berkenaan kerana isu bebanan 'survival' perniagaan khususnya bagi peniaga kecil bukan hanya berlaku di Putrajaya, malah di seluruh negara," katanya.
Selain itu katanya, KPDNHEP akan melaksanakan penambahbaikan bagi membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik ini.
KPDNHEP sedar akan beban dan kesukaran yang dialami oleh peniaga pelbagai sektor, akan terus berusaha membantu bagi memastikan akvitivi perdagangan domestik terus diperkasakan, selain memberi sokongan terhadap peniaga untuk terus kekal yakin berniaga dengan mengadaptasi norma baharu, termasuk memanfaatkan urus niaga secara online dan khidmat penghantaran.
Sumber: Harian Metro