Kuan Chee Heng atau lebih dikenali dengan panggilan Uncle Kentang, berkongsi mengenai seorang wanita yang mengalami masalah di mana dia diusir keluar dari bilik sewa di Kepong.
Sejak dari itu, dia hanya tidur di koridor flat berkenaan selama tiga hari dengan barangannya dan hanya mempunyai wang belanja sebanyak RM12 sahaja.
"Bila kita mula gunakan talian hotline 03-8065-6666, panggilan pertama yang masuk adalah mengenai wanita ini yang diusir dari bilik sewanya. Semua barang-barangnya dikeluar dan diletakkan di koridor Flat Suria Magna, Kepong, Kuala Lumpur.
"Dia tidak berdaya dan hanya mempunyai RM12. Pernah cuba mendapatkan bantuan daripada orang dan ahli politik, tetapi gagal. Selama tiga hari dia tidur di koridor dengan barang-barangnya.
"Dia kata dia tak mandi sejak tiga hari lalu. Dia kelihatan letih dan penat. Kami berikan sedikit wang dan akan cuba mendapatkan tempat penginapan untuknya dan mengajaknya untuk berjumpa serta makan malam bersama kami.
"Kami beritahu dia, kami akan membantunya. Pada usianya, pasti sukar untuk mendapatkan pekerjaan di waktu pandemik sebegini," katanya.
Uncle Kentang juga berterima kasih kepada pihak yang menyediakan talian hotline tersebut dan akui terkejut menerima panggilan pertama itu.
"Talian hotline baru saja diwujudkan pada waktu petang, terus ada panggilan masuk. Ini bermaksud Tuhan menghantar mesej kepada kita bahawa ada seseorang di luar sana yang memerlukan pertolongan," katanya.
Sumber: Kuan Chee Heng