Seorang wanita meninggal dunia selepas kepalanya tersepit di antara kereta dan mesin bayaran parking.
Tragedi itu dilaporkan berlaku di Columbus, Ohio, Amerika Syarikat dan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa, Victoria Strauss, sebelum itu keluar dari tempat letak kereta dan kadnya terjatuh ketika cuba membuat pembayaran.
Victoria kemudian membuka pintu dan cuba mengambil kadnya, namun mangsa berusia 23 tahun itu secara tidak sengaja tertekan pedal minyak, kata jurucakap Jabatan Polis Columbus.
Kenderaan itu bergesel dengan mesin tersebut lalu menyebabkan kepala mangsa tersempit dalam kejadian yang berlaku pada malam Isnin lalu.
Tetapi kejadian itu hanya dilaporkan kepada pihak polis oleh pengawal keselamatan pada keesokan harinya dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Victoria berasal dari dari Florida dikatakan keluar dari tempat letak kereta itu sekitar jam 11.30 malam Isnin.
"Semasa cuba membuat pembayaran, kad mangsa terjatuh. Dia membuka pintu dan cuba mengambil kad itu tetapi kakinya dipercayai tertekan pedal minyak lalu menyebabkan perlanggaran sehingga mengakibatkan kepalanya tersempit di antara pintu kereta.
"Mangsa meninggal dunia akibat insiden yang tidak diingini itu dan meninggal dunia di tempat kejadian. Tiada individu lain yang terlibat. Siasatan masih dijalankan," kata jurucakap polis. - Agensi