Loading...
TR

'Tak merasa i-Sinar' - 2 pengawal keselamatan ditahan berkomplot dengan member curi kabel TNB


Enam individu termasuk dua pengawal keselamatan ditahan kerana berkomplot dengan empat yang lain mencuri tembaga serta kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB). 


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, salah seorang pengawal keselamatan di pencawang TNB Bukit Pelali, Pengerang, membuat laporan polis pada jam 9.35 pagi kelmarin yang mendakwa disamun sekumpulan lelaki. 


Pengawal keselamatan berusia 24 tahun itu mendakwa, sekumpulan lelaki tempatan bertopeng dan bersenjatakan sepucuk senapang patah telah menyamunnya pada jam 2.30 pagi dan melarikan 70 meter kabel TNB yang bernilai RM10,000. 


Bagaimanapun ketika disoal siasat, polis curiga dengan keterangannya sebelum mendapati dua pengawal keselamatan itu sebenarnya telah berkomplot dengan rakannya berusia 19 hingga 36 tahun untuk membuat lakonan kononnya kes itu benar-benar berlaku. 


Ekoran itu, polis menahan dua pengawal keselamatan terbabit dan empat lagi suspek yang lain ditahan di beberapa tempat di Felda Gugusan Adela. 


Semakan mendapati, empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. 


Polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bersama sebuah kenderaan yang digunakan mereka ketika kejadian. 


Kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 14 jam dan barang-barang yang dilarikan juga telah ditemui semula. 


Semua suspek direman selama seminggu untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.