Gambar seorang lelaki tidak memakai baju dan memakai topi keledar basikal dengan tatu di badan sambil dibalut dengan plastik lutsinar di sebatang pokok viral di media sosial.
Dalam insiden yang berlaku di Hanoi, Vietnam itu, lelaki terbabit dikatakan gagal membayar kos pembuatan tatu menyebabkan dia diperlakukan seperti itu.
Dengan musim sejuk di Vietnam yang kini di bawah suhu 10 darjah Celsius, lelaki itu diikat di pokok dengan kertas yang ditulis "Saya benci bayar tatu'.
Pada awalnya, ramai yang menyangka insiden itu sekadar gurauan sesama rakan atau pencacah tatu sekadar mahu meraih publisiti murahan. Tetapi tiada sebarang tanda jenama disertakan pada gambar itu.
Tidak beberapa lama selepas itu, seorang individu yang hanya dikenali sebagai NQT mendakwa dirinya sebagai pencacah tatu tampil dan mengaku bertanggungjawab di atas insiden itu.
Melalui penjelasannya di media sosial, NQT menjelaskan lelaki dalam gambar itu terdahulu datang ke premisnya untuk mencacah tatu. Apabila sudah siap, dia hanya sekadar membayar sebahagian caj yang dikenakan dan tidak kembali untuk membuat bayaran baki.
Insiden itu membuatkan NQT dan rakan sekerjanya menangkap dan membawanya ke kedai untuk diberi pengajaran.
"Mamat ni buat tatu di kedua belah tangannya, tetapi gagal membuat bayaran penuh. Selepas tu, dia tak datang balik untuk membayar baki caj yang dikenakan dan mengelak untuk berjumpa dengan saya.
"Jadi, kami ambil keputusan untuk menanggalkan bajunya, membalutnya dengan plastik lutsinar, diikat di pokok luar kedai sebagai hukuman," katanya.
Tidak diketahui berapa lama lelaki muda terbabit dibiarkan begitu dan disaksikan oleh orang awam yang lalu di kawasan itu. Tetapi NQT mendakwa, disebabkan rasa kasihan, dia terus melepaskannya.
"Dia tak ada duit untuk bayar, tapi saya maafkan dia," katanya.
Sumber: Oddity Central