Seorang juruwang wanita yang hamil bekerja di sebuah pasar raya di Klang, ditampar pelanggan lelaki hanya kerana tidak sengaja tercampak keluar barangnya dari plastik.
Dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini pada jam 9.30 malam Ahad, 29 November 2020, mangsa, Nor Ain Shafinaz Nor Azman, 24, ketika itu sedang memasukkan barang yang dibeli pelanggan dalam plastik dan secara tidak sengaja tercampak barang terkeluar dari plastik.
Difahamkan, ketika itu premis berkenaan dalam proses memberhentikan operasinya hariannya dan hanya terdapat beberapa pelanggan yang sedang beratur menunggu untuk melakukan transaksi pembayaran.
Pelanggan wanita itu kemudian memarahinya dan memaklumkan insiden itu kepada suaminya yang berada di luar. Tidak beberapa lama kemudian, lelaki itu datang dan memarahi mangsa dan menyarankan dia untuk berhenti kerja sekiranya tidak berminat untuk bekerja.
"Tidak cukup dengan itu, dia kemudian secara tiba-tiba menampar pipi kiri saya dan insiden itu disaksikan oleh pelanggan lain," katanya memetik laporan daripada Kosmo Online.
Bimbang dengan keselamatan diri, Nor Ain Shafinaz kemudian membuat laporan polis pada jam 11.30 malam di Balai Polis Bukit Raja.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut. Bertindak di atas laporan itu, suspek berusia 38 tahun itu telah ditahan pada jam 8.30 malam di rumahnya.
Siasatan awal mendapati, suspek bekerja sebagai pemandu lori ais batu dan mempunyai empat rekod jenayah lampau dan dadah. Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo Online, Info Roadblock JPJ/POLIS