Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan pihaknya baru-baru ini menerima dua laporan mengenai skim pelaburan 'Like' dan 'Share' yang membabitkan kerugian sebanyak RM20,000.
Menurut beliau, dua laporan itu dibuat oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat dan seorang wanita berpangkat pengarah.
Bertindak di atas laporan itu, pihaknya telah membuat serbuan ke atas premis tersebut di sekitar ibu kota, malangnya pejabat berkenaan telahpun kosong sejak 9 November 2020.
"Susulan itu, satu serbuan ke atas premis berkenaan di sekitar ibu kota dan mendapati pejabat berkenaan kosong. Pengarah syarikat itu mendakwa kerugian RM9,888, manakala eksekutif terbabit pula mendakwa mengalami kerugian RM10,000," katanya memetik laporan Harian Metro pada Isnin, 30 November 2020.
Siasatan awal polis mendapati, skim pelaburan itu didalangi oleh warga tempatan. Beliau menasihatkan orang ramai tidak terperdaya dengan tawaran menghasilkan pendapatan dengan jalan mudah seumpama itu.
29 November lalu dalam laporan Kosmo, polis dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap skim pelaburan iShareFans yang semakin berleluasa di media sosial susulan mendapat laporan dari mangsa yang mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM6,000.
Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, SAC Dato' Sasikala Devi Subramaniam mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis masing-masing di Sabah dan Pahang.
Beliau memaklumkan, kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa skim pelaburan 'kayangan' tersebut itu tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
The Reporter sebelum ini menyiarkan aduan netizen berhubung skim pelaburan Like and Share yang menjanjikan pendapatan lumayan. Penyiaran aduan itu membuatkan segelintir netizen yang terjebak dengan skim itu melenting kononnya aduan tersebut adalah fitnah semata-mata.
Dalam aduan sebelum ini mengatakan, skim pelaburan itu sebelum ini telah beroperasi di Indonesia. Namun operasi di negara jiran itu telahpun ditutup dan menyebabkan ramai yang mengalami kerugian terutamanya mereka yang telah melanggan pakej 'bangsawan'.
Di Malaysia, skim pelaburan itu mula dikesan beroperasi sejak Oktober lalu dan sudah tentu tawarannya yang kelihatan lumayan itu berjaya menarik perhatian netizen. Tetapi akhir-akhir ini ramai yang mula mengalami masalah pengeluaran wang dari hasil like dan share. Pelbagai alasan yang diberikan, tidak kurang juga yang cuba menyedapkan hati sendiri dengan menyangka pihak syarikat mengalami masalah teknikal.