Penemuan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki di Kalimalang, Kota Bekasi, Indonesia pada Isnin, 7 Disember 2020, menggemparkan warga penduduk.
Bahagian utama mayat yang telah dikerat itu ditemui di tebing sungai di dalam beg plastik hitam oleh seorang pemilik bengkel yang curiga melihat bungkusan plastik berkenaan. Sebahagian anggota badan mangsa seperti tangan dan kaki turut ditemui tidak beberapa jauh dari lokasi penemuan pertama.
Polis yang menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat itu terus datang ke lokasi dan membawa mayat yang telah dikerat itu ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui identiti mangsa.
Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, terdapat kesan tompokan darah. Berdasarkan beberapa petunjuk yang sedia ada, polis percaya mangsa adalah lelaki muda dan baru sahaja dibunuh serta dikerat sebelum dibuang ke lokasi berbeza.
Semakan cap jari mengesahkan, mayat yang dibunuh dengan kejam itu adalah milik Dony Saputra, berusia 24 tahun. Polis terus menghubungi keluarga dan memaklumkan mengenai insiden yang menimpa mangsa.
Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun (homoseksual) yang bekerja sebagai pengamen (busker) dan selalu menjadi manusia silver ketika busking. Semasa diserbu, suspek sedang bermain Play Station di sebuah premis.
Suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali antara satu sama lain. Semasa disoal siasat, suspek mengaku telah melakukan pembunuhan itu kerana kesal dirinya kerap diliwat mangsa.
Sementara itu, ibu mangsa hanya diberitahu yang anaknya meninggal dunia akibat 'kemalangan jalan raya' kerana bimbang wanita itu tidak dapat menerima perkhabaran yang terlalu mengejutkan itu. Tetapi mendengar perkhabaran itu sahaja sudah membuatkan ibu mangsa pengsan beberapa kali.
Kes masih dalam siasatan polis. - Agensi