Seorang ibu tergamak membakar tangan anaknya selepas mengikat tangan kanak-kanak itu dengan straw sebagai pengajaran kerana mencuri gula-gula dari kedai.
Mangsa berusia 6 tahun itu dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah di tangannya dan ibunya ditahan polis dalam kejadian yang berlaku di Cochabamba, Bolivia.
Difahamkan, mangsa dan adik perempuannya berusia empat tahun telah membuatkan ibu mereka marah selepas didapati mencuri gula-gula dari sebuah kedai.
Menurut laporan, si ibu kepada lima anak itu juga mahu membakar tangan anaknya berusia empat tahun itu, tetapi kanak-kanak itu berjaya melarikan diri selepas melihat apa yang berlaku pada kakaknya.
Ibu mangsa dan bapa tirinya yang tidak didedahkan namanya itu telah ditahan polis. Namun, wanita berusia 37 tahun itu dibebaskan kerana hamil enam bulan.
Pemilik kedai terdahulu mengadu kepada ibu mangsa selepas dia meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kanak-kanak itu mencuri gula-gula.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan sehingga ke paras siku dan perlu menjalani empat pembedahan untuk menyelamatkan tangannya, selain memerlukan rawatan susulan.
Si ibu bagaimanapun berkata, dia memohon maaf dan hanya berniat untuk memberi pengajaran kepada anak-anak perempuannya.
"Saya akan dapatkan mereka semula. Saya tidak pernah menyangka ia akan pergi sejauh ini kerana saya hanya cuma mahu mengertak mereka, tidak lebih dari itu," katanya.
Doktor berkata, mangsa mungkin akan mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun untuk pulih semula dari kecederaan yang mengerikan itu. Adik mangsa juga kini berada di bawah penjagaan pekerja sosial.
Mahkamah mengarahkan wanita hamil enam bulan itu menunggu sehingga dia bersalin sebelum dihadapkan ke mahkamah. Suaminya yang berusia 32 tahun ditahan kerana didakwa bersubahat tanpa mengambil sebarang tindakan untuk menghalang kejadian itu dari berlaku. Dia dihantar ke penjara dan siasatan masih dijalankan.
Sumber: The Sun