Loading...
TR

'Hantar makanan je, mana ada buat pape' - Kantoi masuk rumah awek jam 3.26 pagi, pasangan ditahan PADK kerana disyaki berkhalwat


Sepasang kekasih ditahan disyaki berkhalwat dalam sebuah rumah di kawasan Hi Tech Park, dalam serbuan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), hari ini. 


Lapor Harian Metro, PADK menerima maklumat dari penduduk di kawasan itu yang kemudian datang ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di rumah tersebut. 


Sebaik saja tiba pada jam 3.26 pagi, pintu rumah diketuk dan diberi salam, pintu dibuka oleh seorang wanita berusia 22 tahun. Anggota penguat kuasa PADK masuk untuk membuat pemeriksaan setelah diberi kebenaran dan menemui seorang pasangannya berusia 24 tahun yang bersembunyi di dalam sebuah bilik.


Pegawai Penguatkuasa Agama Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat berkata, ketika anggotanya meminta dokumen pengesahan sama ada mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri, mereka gagal berbuat demikian. 


Lelaki itu kemudian memberikan alasan yang dia hanya datang menghantar makanan, sebelum membawanya keluar bersiar-siar di sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang. 


Bagaimanapun, alasan klise itu tidak diterima dan ditambah pula kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen yang diminta menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat. 


Pasangan itu dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan oleh penguat kuasa agama untuk tindakan lanjut. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.