Malang nasib seorang penunggang motosikal wanita yang terbabit dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah kereta dari belakangnya.
Dalam kejadian yang berlaku pada hari ini (Jumaat, 6 November 2020), mangsa yang sedang menunggang di lorong kiri, dipercayai mahu membuat pusingan u di lorong kanan, secara perlahan-lahan menukar lorong.
Berdasarkan video berdurasi 11 saat itu, mangsa terdahulu dilihat memerhatikan kenderaan di lorong kanan dan menyalakan lampu isyarat ke kanan sebelum menukar lorong.
Malangnya, mangsa tidak menyedari sebuah kereta yang sedang dipandu dengan laju di lorong tengah terus merempuh motosikalnya menyebabkan mangsa melambung tinggi sebelum jatuh terhempas di jalan raya.
Topi keledar juga turut tercabut dan mangsa dipercayai terseret di hadapan kereta tersebut.
Tidak diketahui keadaan mangsa dan menurut sumber, kejadian itu berlaku di Jalan Iskandar Shah, berhadapan dengan Showroom Toyota Manjung.
Menurut penilaian netizen, kedua-dua pihak melakukan kesilapan di mana penunggang motosikal gagal memastikan keadaan jalan selamat sebelum menukar lorong, manakala kereta pula dipandu melebihi had laju.
Kemalangan seperti ini boleh dielakkan sekiranya pengguna jalan raya mematuhi hadlaju yang ditetapkan dan memastikan keadaan jalan selamat sebelum menukar lorong. Pandu cermat, jiwa selamat.
Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS