Seorang penunggang basikal amatur dibawa ke hospital untuk mencabut ribuan duri yang tertusuk di badannya setelah terbabit dalam kemalangan kecil sehingga terlanggar pokok kaktus di Buenos Aires, Argentina.
Orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu berhenti dan membantu mangsa mencabut duri-duri tajam itu dari badan mangsa, Diego Moreno. Namun, tidak semua duri dapat dikeluarkan dan Diego terpaksa mendapatkan bantuan di hospital bagi mengeluarkan semua duri-duri yang tersisa.
Berkata kepada media tempatan, Diego berkata dia sebelum itu melakukan aktiviti berbasikal dengan tiga lagi rakannya. Ketika itu, dia berada di kedudukan paling belakang dan sedikit terleka sehingga terlanggar lubang jalan lalu terjatuh ke timbunan pokok kaktus.
"Syukur pada waktu kejadian saya memakai kaca mata dan topi keledar. Wajah dan kepala saya tidak mengalami kecederaan. Kalau tidak, sudah pasti mata saya menjadi buta akibat duri pokok kaktus itu," katanya.
Difahamkan, video tersebut dirakam pada 2 November lalu dan kini viral di media sosial sekali gus memberi mesej penting kepada penggemar aktiviti berbasikal untuk berhati-hati tidak mengira di mana jua jalan raya yang anda lalui.
Sumber: News Flare