Dewan Rakyat semalam kecoh dengan kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak wajar terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham yang dikatanya 'takut mati' kerana tidak turun padang.
"Ini DG hari-hari buat berita saja, bikin apa? Kenapa dia tidak turun padang? Macam Sabah sekarang, begitu hebat pandemik Covid-19. Kenapa dia tidak turun melawat tiap-tiap hospital dan hospital sementara? Kita (patut) pergi tengok, berbincang dan bagi sokongan moral kepada frontliners juga.
"Doktor, jururawat, diorang semua pekerja sana juga. Jangan hantar saja doktor pergi, jururawat pergi. Oh, itu orang (doktor dan jururawat) tak takut mati, DG takut mati. Timbalan DG pun tak pergi. Apa sudah jadi?
"Tak usahlah hari-hari nak buat publisiti. I dengar sekarang dia mahu projectkan diri dia sendiri jadi WHO punya setiausaha agung, itu memang tidak layak untuk saya," kata Duta Khas Perdana Menteri ke China itu.
Terkejut dengan kenyataan itu, Ahli Parlimen Jelutung, RSN Rayer kemudian bangkit dan meminta Tiong menarik balik kenyataan itu dan tidak membenarkan Tiong mengeluarkan kenyataan seperti ituterhadap Noor Hisham.
"Saya tidak benarkan dia (Tiong) hentam DG, dia adalah petugas barisan hadapan, jangan kurang ajar, Bintulu. Jangan hina pegawai kerjaan," jerit Rayer.
Keadaan menjadi semakin tegang dan Timbalan Speaker Azalina Othman Said kemudian mengarahkan Rayer duduk. Jika tidak, dia akan diusir keluar dari Dewan Rakyat.
"Jelutong tolong duduk, saya nak buat ruling (ketetapan)... I am warning you, kalau tak duduk, saya akan keluarkan," katanya.
Bagaimanapun, Rayer enggan patuh dan kemudian diarahkan keluar dari dewan.
Azalina kemudian memberi dua pilihan kepada Tiong sama ada mahu menarik balik kenyataan itu atau memberi penjelasan mengapa dia mengeluarkan kenyataan tersebut.
Tiong menjelaskan, kenyataan itu adalah suara petugas barisan hadapan dan tiada keperluan untuk dia menarik balik.
"Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu (Noor Hisham) hantar orang, dia kena pergi jugalah," tegasnya.
Dewan Rakyat sekali lagi menjadi kecoh berikutan ramai Ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan kenyataan itu dan meminta Azalina menegur Tiong. Tetapi Azalina hanya meminta semua bertenang dan sehingga kini Tiong masih belum menarik balik kenyataan itu.
Ahli Parlimen Iskandar Putri, Lim Kit Siong berpendapat tindakan Tiong menghalakan kemarahannya kepada Noor Hisham sebagai satu tindakan yang tidak wajar.
Menurut Kit Siang, Tiong sepatutnya menghalakan kemarahan itu kepada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang disifatkannya sebagai gagal berfungsi selaku seorang Menteri Kesihatan.
"Mengapa Tiong tidak menghalakan kemarahannya kepada Adham yang membuktikan reputasinya sebagai seorang menteri kesihatan yang 'halimunan' selepas beberapa siri kesilapan seperti isu air suam, 500 negara dan 15 negeri beliau?
"Adakah Tiong (mahu) membuktikan yang dia 'tidak takut mati' apabila pergi ke Sabah dari Bintulu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini?
"Kenyataan Rayer tepat, Tiong patut memohon maaf atas serangan tidak berasas beliau terhadap ketua pengarah kesihatan," katanya.
Sumber: MalaysiaKini