Persatuan Haiwan Malaysia hari ini menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai lelaki yang menembak anjing dalam video viral di media sosial, untuk tampil memberi maklumat dengan ganjaran RM2,000 akan diberikan.
Video yang dimuat naik oleh persatuan itu di Facebook rasminya menunjukkan seorang lelaki berusia 50-an tidak berpakaian memegang senjata api yang dipercayai senapang patah, sedang memerhati keadaan di luar rumah.
Dalam malam yang gelap disusuli dengan hujan itu, lelaki berkenaan secara tiba-tiba melepaskan tembakan dan terkena pada seekor anjing yang berada di luar rumahnya menyebabkan haiwan tersebut merintih kesakitan.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai lelaki itu dan berharap orang ramai tidak kira ahli keluarga, jiran mahupun mereka yang mengenali lelaki terbabit untuk tampil memberi maklumat melalui WhatsApp Hotline Animal Malaysia di 011-2090-1097.
Di media sosial, netizen menyelar tindakan lelaki tua itu yang tidak mempunyai sifat belas kasihan dan simpati sehingga sanggup bertindak zalim terhadap haiwan berkenaan.
"Family pun sokong orang tua ni buat perkara zalim. Bukannya nak tolong nasihatkan orang tua hilang akal ni. Nanti mendapatlah dia sama macam mana dia buat kat anjing itu. Menjerit-jerit sakitlah waktu tu," kata Ieda Yong.
"Kalaulah Allah bagi peluang pakcik dan keturunan pakcik jadi haiwan, haiwan yang pakcik tembak jadi manusia, agak-agak apa perasaan pakcik? Bersyukurlah pakcik dilahirkan sebagai manusia, ada otak, akal. Allah bagi rezeki sihat, kuat, makan sedap-sedap. Semoga suatu masa pakcik dapat merasai sendiri kesakitan dan penderitaan haiwan terbiar yang dibenci orang," kata Sunita Noor.
"Dengar tangisan suara anjing tu Ya ALlah. Aku tak boleh gambarkan kesakitan yang dia hadapi. Ya Allah kenapalah ada manusia yang sombong atas dunia ini. Kenapa Ya Allah?
"Apa salah anjing itu sampai kau tembak dia? Orang tua tak sedar diri. Pakcik, kau ingat kau dengan keturunan kau sahaja ke yang nak hidup atas dunia yang sementara ini? Kau ingat kau dengan keturunan kau hidup tongkat langit ka? Ya Allah, zalimnya kau pakcik," kata Hazwani Mohd Asri.
Individu yang didapati melakukan penganiayaan terhadap haiwan boleh didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 30 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: Persatuan Haiwan Malaysia