Polis menahan dua penyeludup warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya dimaklumkan empat lagi suspek ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di negara jiran itu.
"Seorang (penyeludup) ditangkap oleh pasukan komando VAT 69 selepas kejadian dan seorang ditahan PGA Batalion 3... (namun) senjata tidak dijumpai.
"Daripada empat tangkapan dibuat oleh pihak Thailand, tiga penyeludup dilaporkan cedera dan seorang yang membantu mereka turut cedera," katanya kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian dekat sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada semua suspek dengan kerjasama polis Thailand.
Surina berkata siasatan awal pihaknya mendapati kejadian yang berlaku di Tembok Sempadan 9 (TS9) melibatkan 13 penyeludup.
"Penyeludup ketika itu dipercayai membawa lebih kurang 12 bungkus daun ketum (anggaran 400-500 kilogram) dan seguni ubat batuk," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai anggota PGA dari Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Kpl Baharuddin Ramli yang terbunuh dalam kejadian itu, beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di bahagian kiri perut menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata jasad mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Rakan setugas mangsa, Kpl Norihan a/l Tari yang cedera parah di bahagian perut dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, katanya.
"Kita amat berbangga dengan keberanian yang telah ditunjukkan (anggota) apabila bertempur dengan lebih kurang 13 penyeludup daripada negara jiran.
Sumber: Bernama