Helah dua lelaki menggunakan beg penghantar makanan untuk membawa air ketum menemui kegagalan apabila mereka ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, dua suspek terbabit ditahan di sekitar kawasan Jinjang.
Terdahulu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat rondaan di Lebuhraya Lingkaran 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves dan menemui sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki pada jam 9.30 malam dalam keadaan yang sangat mencurigakan.
Dua suspek itu kemudian disuruh berhenti untuk pemeriksaan, tetapi tidak diendahkan dan suspek bertindak memusing motosikalnya dan menunggang melawan arus jalan sehala menghala ke kawasan Jinjang. Anggota polis mengejar dua suspek terbabit sehingga mereka terlanggar sebuah kereta.
Pemeriksaan mendapati, dua suspek yang berusia 18 dan 23 tahun itu membawa empat bungkusan air berwarna hijau tua yang disyaki Mitragynine seberat 3.79 gram di dalam beg penghantar makanan berwarna merah jambu itu.
Kedua-dua suspek mengenali satu sama lain dan siasatan juga mendapati, suspek mengaku meminjam beg tersebut dari rakannya bagi mengaburi pihak polis yang bertugas di sekatan jalan raya.
Semakan mendapati, mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
S Shanmugamoorthy berkata, modus operandi pengedar dadah menggunakan beg penghantar makanan sudah diketahui oleh pihaknya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di peringkat awal sebelum ini. Malah polis juga turut mengesan ada pihak yang melakukannya dengan menggunakan khidmat 'premier delivery' yang menggunakan kenderaan mewah untuk membawa barang terlarang itu.
Polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan sebarang aktiviti seumpama itu. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya dikesan pihak polis.
Sumber: Harian Metro