Loading...
TR

Pemandu e-hailing ugut & bogelkan remaja tersilap buat tempahan


Malang nasib seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, dibogel dan diperas ugut oleh seorang pemandu e-hailing yang tidak berpuas hati dengannya. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi Khamis, 29 Oktober 2020, mangsa yang berada di rumahnya di Hiliran Ampang, memuat naik aplikasi e-hailing dan secara tidak sengaja membuat tempahan.  


Mangsa kemudian segera membatalkan tempahan itu. Tetapi dia dihubungi oleh pemandu e-hailing berkenaan yang bertindak memarahinya dan menuduh mangsa membuat tempahan palsu. 


Mangsa memberi penjelasan dia tidak sengaja berbuat demikian. Masih tidak berpuas hati, suspek kemudian menghantar tiga mesej melalui WhatsApp dan mahu bertemu dengan mangsa. Mangsa akur dan mahu membayar kadar tambang RM25.50 sebagai ganti rugi.


Jam 1.10 pagi, mereka bertemu di rumah mangsa yang kemudian memohon maaf dan menyerahkan wang tersebut. Tetapi, suspek pula bertindak melampaui batas apabila dia bukan sahaja mengugut mangsa dengan menggunakan nama polis, malah mengarahkan mangsa menanggalkan pakaian.


Mangsa pada awalnya membantah, suspek sekali lagi mengugut akan membuat laporan polis atas dakwaan mangsa membuat tempahan palsu. Suspek turut meminta mangsa membayarnya RM200 sebagai ganti rugi. Mangsa sekali lagi akur dan membuat pemindahan wang itu secara online ke akaun bank suspek. 


Sudah diberi betis, hendak paha, suspek yang tamak kemudian meminta mangsa membayar RM2,000 melalui WhatsApp. Jika permintaan itu tidak dipenuhi, video mangsa yang tidak berpakaian dakan disebarkan dan laporan polis terhadap mangsa juga akan diteruskan. Suspek memberi mangsa tempoh selama dua hari untuk membuat pembayaran itu. 


Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut. Bertindak di atas laporan itu, polis sedang mengesan suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.