Aplikasi TikTok sangat digemari pengguna di pelbagai peringkat usia. Bukan hanya anak-anak muda, tetapi juga golongan yang sudah berumah tangga. Tetapi keburukan apabila terlalu 'addict' dengan media sosial, ia akan memberikan kesan yang negatif.
Baru-baru ini seorang lelaki sangat geram melihat isterinya asyik bermain TikTok dan kerana tidak dapat mengawal kemarahan dalam dirinya, dia bertindak menyiram muka isterinya dengan minyak panas.
Lapor Detik, kejadian itu dilaporkan berlaku di Lubuk Minturun, Sumatera Barat, pada awal pagi Khamis, 5 November 2020. Suspek bernama Didi Irwanto menyiram minyak panas itu ke muka isterinya yang sedang tidur. Akibatnya, muka mangsa, Elda Yurianti, melecur teruk.
Elda kemudian membuat laporan polis terhadap Didi dan mendakwa suaminya itu sengaja menganiayanya kerana cemburu. Sedangkan dia menggunakan aplikasi TikTok itu untuk menjual pakaian. Apatah lagi sejak sebulan yang lalu, suaminya tidak bekerja.
Jurucakap Polis Padang, Rico Fernanda, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya kini sedang mengesan suspek yang dilaporkan telah melarikan diri.
"Mengikut laporan mangsa, suaminya cemburu kerana mangsa selalu bermain TikTok," kata Rico.
Bercakap kepada media, Elda menjelaskan dia memanfaatkan aplikasi TikTok untuk menjual pakaian. Tetapi Didi pula cemburu melihatnya sejak Elda berniaga melalui aplikasi tersebut di mana dia mendapat banyak pesanan dan dihubungi pelanggan lelaki.
Rasa cemburu yang membabi buta, pada hari kejadian Didi masuk ke bilik dan menyiram badan isterinya dengan minyak panas menyebabkan Elda tersentak lalu terbangun akibat kesakitan.
Elda juga memberitahu, suaminya kerap memeriksa telefon bimbitnya dan mengesyaki dia curang walaupun tiada bukti kukuh. Lebih teruk lagi, Didi juga menaruh perasaan cemburu dengan saudara lelaki kepada isterinya.
"Dengan adik kandung saya pun dia nak cemburu juga," katanya.