Tindakan Kementerian Ekonomi Digital (DES) dan Masyarakat Thailand menyekat laman web lucah antarabangsa pada Selasa, 3 November 2020, yang melibatkan 190 laman web lucah menimbulkan kemarahan sebilangan besar rakyat di negara itu.
Difahamkan, kementerian itu memperoleh kelulusan dari mahkamah untuk menyekat 190 laman web lucah itu dari pembekal internet dan operator telefon di Thailand, selaras dengan undang-undang negara yang mengharamkan laman-laman tidak senonoh berkenaan.
Rakyat yang 'terjejas' juga mengecam Menteri DES, Buddhipongse Punnakanta, walaupun tindakan kementeriannya menyekat laman web tersebut adalah satu usaha yang sepatutnya dipuji. Tetapi bagi 'golongan sangap 5 minit' itu pula mendakwa, DES menghalang kebebasan rakyat untuk mengakses media.
Di Facebook, satu kumpulan anti-kerajaan yang dikenali sebagai The Anonymous Party juga mengkritik sekatan itu dan menegaskan rakyat sepatutnya diberikan kebebasan mengakses media termasuk semua jenis kandungan termasuk unsur seksual, selagi penonton tidak dipaksa untuk menonton.
"Kami mahu tuntut P***Hub dikembalikan. Rakyat berhak membuat pilihannya sendiri!" kata kumpulan berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, golongan sangap berkenaan turut turun berdemonstrasi di Kompleks Kerajaan di Chaeng Wattana, Bangkok pada hari yang sama sekatan itu dikuatkuasakan, bagi menentang keputusan DES.
Di Twitter, hashtag atau tanda pagar #SaveP***Hub juga trending. Beberapa netizen juga dikesan memuat naik tweet berunsur hasutan dengan mendakwa Kerajaan Thailand cuba mengawal golongan muda di media sosial.
"Golongan konservatif yang berkuasa sedang cuba mengawal apa yang dapat ditonton, dibaca dan dilakukan oleh golongan muda secara online," kata netizen.
Menurut data laman P***Hub, rakyat Thailand antara pengguna yang ramai mengakses laman itu. Bahkan, rata-rata rakyat Thailand mengakses laman tersebut setiap 11 minit 21 saat. Susulan penguatkuasaan sekatan itu, syarikat pembekal perkhidmatan Virtual Private Network (VPN) juga menerima langgan atau penggunaan secara mendadak.
Sementara itu, aktivis terkenal, Nutta Mahattana, menyokong tindakan kerajaan menyekat ratusan laman web lucah tersebut yang tidak memberi sebarang kebaikan kepada negara. Beliau juga menyelar mana-mana pihak yang mengaitkan isu tersebut dengan politik.
"Jangan kaitkan isu ini dengan isu politik. Demokrasi bukan bermaksud anda boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa rasa tanggungjawab," katanya.
Menteri DES, Buddhipongse sedar akan kecaman hebat terhadapnya, namun beliau tidak mahu melayan kritikan tersebut dan menjelaskan dia hanya melakukan tugasnya sebagai menteri.
Sumber: Astro Awani, iNews, Daily Mail