Loading...
TR

Bicara kes bunuh Zulfarhan bersambung 22 Disember ini


Perbicaraan kes membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi di sini ditangguh kepada 22 hingga 30 Dis depan.


Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata perbicaraan kes itu sepatutnya bersambung pada 19 hingga 23 Okt lepas di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, bagaimanapun tarikh itu dilapangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


"Sembilan daripada 12 tertuduh yang didakwa atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan telah selesai memberi keterangan, jadi tiga lagi tertuduh akan memberi keterangan pada prosiding perbicaraan itu nanti," katanya kepada Bernama ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.


Enam lagi tertuduh yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan juga telah selesai memberikan keterangan masing-masing.


Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM yang kini berumur 24 tahun membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.


Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017. 


Mereka bersama-sama 12 lagi individu iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan turut diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.


Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 dan 5.30 pagi pada 21 Mei 2017.


Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.