Seorang bapa mengaku telah membunuh dua anaknya yang masih kecil di rumah ketika isterinya sedang berada di bilik mandi, sebelum cuba mencederakan dirinya menggunakan pisau yang sama digunakan untuk membunuh mangsa.
Nadarajah Nithiyakumar, 41, menyerang dan membunuh anak lelakinya, Nigish, 3, dan anak perempuannya, Pavinya, 19 bulan di rumah mereka di Ilford, London, pada 26 April lalu.
Ibu mangsa yang dikenali sebagai Nisa, berada di bilik mandi ketika suaminya melakukan pembunuhan itu terkejut apabila mendapati keadaan mangsa dan terus menghubungi pihak polis.
Pavinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Nigish dikejarkan ke hospital di Whitechapel untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Malangnya, dia tidak sempat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Nithiyakumar juga dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan serius selepas dia cuba mencederakan dirinya. Sebaik dibenarkan keluar dari hospital, lelaki itu terus didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh anak-anaknya.
Dalam keterangan kepada polis, Nithiyakumar menjelaskan kepada pegawai penyiasat dengan terperinci bagaimana dia membunuh anak-anaknya ddengan menggunakan pisau kerana dia mahu membunuh dirinya. Bimbang anak-anaknya menderita tanpa bapa, dia mengambil keputusan untuk membunuh dua anaknya itu terlebih dahulu.
Nithiyakumar juga mengatakan dia mengalami kemurungan dan semasa bekerja di kedai runcit, pelanggan selalu membuat dia rasa kecewa sehingga dia pernah terfikir untuk membunuh diri.
Tertuduh mengaku bersalah di atas dua pertuduhan membunuh tersebut tetapi tidak mengaku bersalah kerana membunuh. Pengakuan tertuduh membuatkan isterinya yang turut hadir ke mahkamah menangis.
Pendakwa Raya Duncan Atkinson memberitahu mahkamah, pakar psikiatri bersetuju bahawa tertuduh mengalami gangguan khayalan (Delusional Disorder) ketika melakukan pembunuhan tersebut. Adalah jelas bahawa gangguan itu yang menyebabkan tertuduh membunuh anak-anaknya.
Hakim Justice Cutts bersetuju menangguhkan penetapan hukuman sehingga 10 Disember dan akan mengarahkan Nithiyakumar menjalani pemeriksaan mental bagi mengetahui sama ada tertuduh berbahaya kepada orang ramai atau tidak.
"Saya tidak akan menjatuhkan hukuman kepada kamu hari ini. Saya memerlukan maklumat lebih lanjut dari doktor dan mendengar sendiri bukti dari mereka sebelum saya membuat keputusan hukuman apa yang sesuai untuk kamu," katanya.
Nithiyakumar dihantar semula ke pusat kesihatan mental di timur London di tempat dia dirawat pada masa ini.
Sumber: Daily Mail