Anjing sememangnya terkenal sebagai anjing, selain sebagai haiwan yang setia. Banyak kisah-kisah yang sudah membuktikannya dan salah satunya adalah kisah mengenai seekor anjing dari Rusia yang dikenali sebagai Maru.
Maru, anjing baka Bullmastiff berusia satu tahun dikatakan sanggup menempuh perjalanan jauh 200 kilometer untuk pulang ke rumah pemiliknya yang tidak mahu memeliharanya lagi.
Difahamkan, Maru yang dilahirkan di Novosibirsk, Siberia dijual kepada sebuah keluarga dari Krasnoyarsk, 800 kilometer dari Novosibirsk, ketika berusia lima bulan.
Selepas enam bulan kemudian, penjualnya, Alla Morozova menerima panggilan dari pemilik anjing itu yang memaklumkan mereka tidak dapat memelihara Maru kerana mereka mengalami alergik terhadap haiwan.
Kontrak penjualan anjing itu sebelum ini menyatakan, pembeli yang sudah tidak berminat untuk membela anjing yang dibeli haruslah memaklumkan kepadaa Morozova agar dia dapat menguruskan proses pengambilan anjing itu semula.
Morozova kemudian meminta rakannya untuk mengambil Maru pulang semula ke Novosibirsk menaiki tren. Dalam perjalanan itu, Maru tiba-tiba menjadi panik kerana bunyi tren itu membuatkannya takut lalu membuka pintu dengan menendang tombol dan melompat keluar. Rakan Morozova menjerit memanggil Maru untuk kembali semula, tetapi anjing betina itu terus berlari menghilangkan diri.
Maru melompat keluar ketika tren hampir tiba di stesen Achinsk, bandar di antara Krasnoyarsk dan Novosibirsk. Morozova segera menghubungi bekas pemiliknya untuk membantu Maru, tetapi mereka menolak.
"Itu yang membuatkan saya berasa marah. Bekas pemiliknya langsung tak bersedih. Macam.. bila anjing itu hilang.. dia biarkan hilang begitu sahaja," katanya.
Morozova masih tidak berputus asa dan mengambil inisiatif untuk meminta bantuan melalui media sosial. Dua hari kemudian, Morozova dimaklumkan Maru telah ditemui tetapi terkejut apabila mendapati anjing itu berada di kawasan industri Krasnoyarsk, di mana haiwan itu cuba untuk pulang ke rumah bekas pemiliknya.
"Sukarelawan telah menemui dia di kawasan industri, dalam keadaan letih. Dia tak lari ke Novosibirsk. Dia nak balik semula ke tempat tinggalnya sebelum ini. Sedangkan selama ini dia hanya berjalan di halaman rumah, tidak pernah dibawa berjalan ke tempat lain," katanya.
Maru kemudian dibawa pulang ke Novosibirsk di mana dia disatukan semula dengan ibu dan bapanya.
Sumber: Oddity Central