Polis menahan empat remaja lelaki yang disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun secara bergilir-gilir.
Turut ditahan, seorang lelaki berusia 20 tahun yang merakam perbuatan keji itu dengan telefon bimbit.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8 malam, 4 November 2020.
"Empat remaja lelaki berusia 16 tahun itu melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak dan remaja perempuan terbabit berdekatan loji kumbahan di Taman Malar, Ipoh, Perak.
"Susulan laporan polis diterima, kami mengesan sebelum menahan semua suspek kelmarin, bagi membantu siasatan," katanya.
Semua suspek direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun, jika disabitkan kesalahan.
Sumber: Harian Metro