Viral di media sosial seorang lelaki berusia lingkungan 30-an memukul anggota Bomba di lokasi kemalangan.
Menurut sumber, kemalangan yang membabitkan beberapa buah kenderaan itu berlaku pada pagi tadi di Jalan Suakasih di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) menghala ke Cheras Selatan.
Difahamkan, kereta yang dipandu oleh lelaki terbabit melanggar tiga buah kenderaan lain dan terbakar di tepi jalan.
Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat BTHO datang ke lokasi dan memadamkan kenderaan terbakar itu.
Namun ketika sedang menjalankan tugas, lelaki terbabit datang ke arah keretanya yang terbakar tetapi dihalang oleh beberapa anggota Bomba. Juga kedengaran suara beberapa orang awam yang meminta lelaki itu ditahan.
Tidak berpuas hati, lelaki itu secara tiba-tiba memukul salah seorang anggota Bomba menyebabkan rakan setugas dan orang awam yang menyaksikan kejadian itu terus menangkapnya dari terus bertindak agresif.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Wong Siew Ki menerusi Facebooknya memaklumkan, lelaki terbabit telah diserahkan kepada polis dan dipercayai tidak siuman.
"Terdapat sebilah pisau dalam keretanya dan ini yang membimbangkan anggota-anggota bomba dan polis," katanya.
Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS, Wong Siew Ki