Loading...
TR

Tiada bukti kukuh untuk dakwa Khairuddin langgar perintah kuarantin wajib - Peguam Negara

Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas pelanggaran kuarantin kerana tiada keterangan yang kukuh.


Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata hasil kajian dan penelitian terhadap segala keterangan yang dikemukakan, mendapati pegawai diberi kuasa telah menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah bagi mengarahkan menteri berkenaan menjalani pemerhatian atau pengawasan di rumah di bawah subseksyen 15(1) Akta 342.


“Borang 14b seperti diperuntukkan dalam garis panduan Kementerian Kesihatan yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan subseksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah diserahkan kepada menteri berkenaan sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Idrus berkata bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri tersebut terlebih dahulu sebagaimana kehendak di bawah subseksyen 15(1) Akta 342.


Berdasarkan pertimbangan tersebut, katanya, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Mohd Khairuddin memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang.


Idrus juga mengesahkan bahawa siasatan mengenai aduan terhadap Mohd Khairuddin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) telah selesai dijalankan oleh pihak polis.


“Penelitian terhadap kertas siasatan dikemukakan oleh polis menunjukkan menteri itu telah berlepas ke Turki pada 3 Julai 2020 dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai 2020,” katanya.


Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohd Khairuddin telah menjalani ujian calitan COVID-19 dan keputusannya adalah negatif, katanya.


Justeru, katanya, menteri itu dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai Kementerian Kesihatan, selaku pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta 342.


Idrus berkata Mohd Khairuddin  telah menjalani ujian saringan kali kedua pada 10 Julai lalu di Hospital Kuala Lumpur sebelum menghadiri majlis dii Istana Negara pada 17 Ogos lalu.


Menurutnya, keputusan saringan kali kedua adalah negatif.


Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.