Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tampil menafikan dakwaan kononnya suspek utama bergelar 'Datuk Seri' dalam sindiket Macau Scam dan perjudian online telah lari dengan memanjat pagar belakang bangunan ibu pejabat SPRM baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro yang memetik dari sumbernya berkata, sebaik saja suspek dilepaskan pada 11 Oktober lalu, mereka dibawa balik ke pejabat SPRM untuk proses dokumentasi jaminan.
Apabila tiba, kelihatan ramai polis yang berkumpul di lobi utama menyebabkan kesemua suspek tidak mahu keluar dari kenderaan masing-masing.
Pada masa itu juga, ada di kalangan ahli keluarga suspek turut hadir untuk proses jaminan dan berlaku kekecohan di lobi utama apabila semua Orang Kena Tahan (OKT) enggan turun disebabkan kehadiran polis yang ramai.
Hasil perbincangan di antara SPRM, polis dan peguam yang hadir, pihak polis akur dan bersetuju untuk menunggu di pintu utama luar pejabat SPRM.
Selepas proses dokumentasi jaminan selesai, semua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing keluar dari ibu pejabat SPRM.
"Terdapat empat kenderaan model Velfire memasuki Ibu Pejabat SRPM bagi menjemput suspek yang melarikan diri itu. Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama ditahan polis dan suspek ditangkap semula," katanya.
Walau bagaimanapun, salah seorang suspek yang telah dibebaskan dengan jaminan diserahkan SPRM kepada peguam beliau dan dia kemudian masuk ke dalam Velfire bersama peguam dan pengawal peribadi serta pemandu, menuju ke pintu pagar utama.
"Walau bagaimanapun, dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, beliau dipercayai bertindak keluar dari kenderaan dan melarikan diri di pagar sisi (berdekatan pintu belakang bangunan SPRM) dengan dibantu dua lagi pengawal peribadi yang bersedia untuk membantu beliau memanjat pagar lalu meloloskan diri daripada ditangkap polis," katanya.
Polis hanya menyedari kehilangan suspek ketika menahan dan memeriksa kereta tersebut di pintu utama.
Insiden itu turut dirakam oleh kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek terbabit dibantu oleh dua pengawal peribadinya. Suspek kemudian masuk ke sebuah Perodua Myvi yang telah menunggu di tepi jalan untuk membawa suspek lari dari kawasan tersebut.
Sumber: Harian Metro