Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan sesekali mendedahkan nama-nama artis yang akan dipanggil untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Menurut sumber yang dipetik oleh Harian Metro berkata, SPRM sudah mempunyai senarai nama artis yang terlibat dan pihaknya akan menghubungi artis-artis berkenaan secara peribadi untuk diambil keterangan.
"Setakat ini, SPRM sedang menunggu mereka untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram itu.
"Kami berharap mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak sekaligus dapat menyelesaikan siasatan kes ini," katanya.
Sumber kata, SPRM kini sedang menyiasat harta dan kenderaan mewah milik individu yang disyaki terbabit sebelum sitaan dilakukan.
Dalam laporan media semalam, SPRM memaklumkan 10 artis akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram, Macau Scam dan perjudian online.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini juga pernah meminta golongan artis dan ahli perniagaan yang terbabit tampil untuk memberi keterangan.
Sumber: Harian Metro