Dua beradik berusia lima dan satu tahun tidak menyedari ibu bapa mereka telah meninggal dunia akibat keracunan makanan. Kejadian itu hanya disedari selepas ibu saudara mereka membuat panggilan telefon yang bertanyakan keberadaan pasangan itu yang dikatakan tidak hadir ke majlis perjumpaan keluarga.
Natalia Bakulina, 36, berkata, Alexander, 30, dan isterinya Viktoria Yakunin, 25, sepatutnya hadir ke majlis perjumpaan itu bersama dengan anak-anak mereka. Tetapi ketiadaan mereka membuatkan dia berasa bimbang lalu membuat panggilan telefon yang kemudian dijawab oleh anak saudaranya itu.
Ketika ditanya mengenai ibu bapanya, kanak-kanak itu memaklumkan ibu dan bapanya sedang 'tidur' untuk jangka masa yang sangat lama. Malah dia memaklumkan badan ibu bapanya bertukar menjadi kehitaman sehingga dia yang terpaksa menjaga dan menguruskan adik lelakinya sendirian.
Mendengar penjelasan itu, Natalia bergegas keluar dari rumah dan terus pergi ke rumah adiknya. Sebaik saja tiba, pintu rumah dibuka oleh anak saudaranya dan keadaan dua beradik itu sangat tidak terurus. Natalia berlari masuk ke dalam rumah dan menemui Alexander dan Viktoria dalam keadaan tidak bernyawa di katil, membuatkan dia terus terduduk dan menjerit.
Natalia terus menghubungi pihak berkuasa. Tidak beberapa lama kemudian polis dan pasukan perubatan tiba di lokasi. Natalia membersihkan dua anak saudaranya itu lalu dibawa keluar dari rumah tersebut.
Berdasarkan laporan media tempatan, siasatan polis mendapati Alexander dan Viktoria maut akibat keracunan makanan. Ini berdasarkan penemuan botol jeruk di dapur dalam keadaan penutupnya sudah dibuka. Pemeriksaan mendapati, terdapat toksin botulinum di dalam jeruk itu. Toksin berbahaya itu berkemampuan melumpuhkan mangsa dan lebih teruk lagi menyebabkan maut akibat kegagalan sistem pernafasan.
Difahamkan, Alexander mendapat jeruk buatan sendiri itu selepas diberi oleh neneknya, sehari sebelum kejadian. Pihak berkuasa percaya, jeruk yang mengandungi toksin itu menjadi punca sebenar kematian pasangan terbabit.
Dua beradik itu kini dijaga oleh bapa Alexander buat sementara waktu.
Sumber: Mirror