Seorang jurutera lelaki berumur 32 tahun di Surat, Gujarat, India maut selepas mengantung diri di kediamannya kerana tertekan dengan rutin bekerja dari rumah, Selasa lalu.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Jigar Gandhi, bekerja sebagai jurutera elektrik di Noida sejak tiga tahun lalu.
Gandhi yang baru-baru ini pulang ke rumahnya dari tempat kerja di Haryana ekoran perintah berkurung, bekerja dari rumah sejak beberapa bulan lalu.
Ketika disoal siasat polis, ahli keluarga Gandhi berkata, mangsa kerap bercakap mengenai tekanan kerja yang dialaminya ketika pandemik Covid-19.
Polis mengesahkan kejadian itu dan laporan post mortem juga mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat gantung diri.
Institusi Kesihatan Mental Kebangsaan dan Sains Neurological India dalam laporan terkininya mendedahkan berlaku peningkatan 70 peratus jumlah pesakit yang menderita akibat depresi dan gangguan obsesif-kompulsif akibat wabak Covid-19.
Sumber: Gulf News