Seorang selebriti media sosial ditahan kerana disyaki menjual minyak wangi berjenama antarabangsa tiruan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Taman Pinggiran Putra di sini, hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 3 petang, pihaknya merampas lebih 1,000 botol minyak wangi yang dianggarkan bernilai RM150,000.
“Siasatan awal mendapati sebotol minyak wangi dijual dengan harga serendah RM150 hingga RM200 dan mampu meraih keuntungan sehingga ribuan ringgit setiap bulan.
Mangsa (pembeli) juga turut diberitahu produk tersebut adalah tulen,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Beliau berkata wanita berusia 26 tahun itu yang turut dibantu oleh suaminya telah beroperasi kira-kira setahun dari rumah berkenaan dengan memasarkan barangan berkenaan melalui platform media sosial Instagram dan Facebook.
Semasa serbuan, katanya turut ditemukan slip penghantaran barangan, kotak pembungkusan dan transaksi perbankan.
Katanya, hasil semakan transaksi juga mendapati barangan terbabit bukan sahaja dibeli oleh pembeli tempatan tetapi juga dari Singapura dan Brunei.
Katanya individu berkenaan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Sekyen 102 (1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menjual atau menawarkan barangan disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.
Sumber: Bernama