Polis Odessa (Texas) menahan sepasang suami isteri kerana didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun pada Ogos lalu.
Daniel Schwarz, 44, dan isterinya, Ashley Schwarz, 34, merupakan penjaga kepada Jaylin, 8, didakwa atas pertuduhan membunuh.
Menurut Jabatan Polis Odessa, pada hari kejadian pihaknya menerima panggilan dari paramedik yang membuat panggilan dari rumah pasangan itu. Sebaik saja tiba di kediaman itu, mereka mendapati Jaylin sudah tidak bernyawa.
Siasatan mendapati, mangsa sebelum itu telah dihukum oleh pasangan berkenaan di mana Jaylin tidak dibenarkan bersarapan pagi dan dipaksa melakukan lompatan di trampolin tanpa henti.
Jaylin juga tidak dibenarkan minum air selagi dia masih dalam tempoh menjalani hukuman.
Suhu pada trampolin pada ketika itu adalah sekitar 43'C dan suhu di Odessa pada hari kejadian mencecah lebih dari 37'C.
Keputusan bedah siasat pada 8 Oktober lalu menunjukkan, mangsa meninggal dunia akibat dehidrasi.
Isnin lalu, Jabatan Polis Odessa mengumumkan siasatan kes itu telah selesai. Daniel dan Ashley akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Jaylin.
Sementara itu, ibu kandung Jaylin, Alysha Anderton berkata, Ashley Schwarz merupakan adik tirinya. Ashley dan Daniel diberi hak penjagaan ke atas Jaylin dan adiknya, Jayde sejak hampir empat tahun lalu.
Menurut Alysha, dia amat menyayanginya anak-anaknya itu tetapi tidak diberi hak penjagaan terhadap dua beradik itu susulan dia mengalami masalah ketagihan.
Perkhidmatan Pelindung Kanak-Kanak (CPS) kemudian menyerahkan dua beradik itu kepada Ashley untuk dijaga dan Ashley pada ketika itu bersetuju untuk menerima tanggungjawab tersebut. Namun dalam masa yang sama, Daniel tidak mengizinkan Alysha bertemu dengan anak-anaknya lagi.
"Apa yang paling menyedihkan saya ialah, saya tidak berpeluang untuk bertemu dengan mereka lagi. Bila mereka mengambil dua anak ini, saya langsung tidak berkesempatan mengucapkan selamat tinggal. Sudah hampir empat tahun saya tidak bertemu dengan anak-anak saya.
Ogos lalu, Alysha menerima panggilan dari keluarganya yang memaklumkan Jaylin telah meninggal dunia.
Pegawai Penyiasat berkata, Daniel telah menghukum Jaylin dan Jayde melompat di trampolin tanpa henti di belakang rumah. Jika dua beradik itu berhenti melompat, Ashley dan Daniel akan mengambil air minuman mereka.
Sehingga Jaylin kemudian jatuh pengsan dan disahkan meninggal dunia.
Meskipun laporan bedah siasat menyatakan Jaylin mati akibat dehidrasi, Alysha tidak dapat menerimanya kerana keadaan mayat anaknya tidak kelihatan seperti kanak-kanak berusia lapan tahun kerana saiz tubuh badannya yang sangat kurus dan kecil.
Sumber: CBS7